This is our land!!!

Bendera Malaysia

Monday, August 9, 2010

Teks khutbah sempena Hari al-Quds (Negeri Selangor)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
9:71 “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;  sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuhnya adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah. Tuntutan ukhuwah di Dalam Islam tidak mengenal batas-batas negara, bangsa dan keturunan. Selama mana seseorng itu mengucap kalimah syahadah maka dia ada saudara dalam Islam yang wajib dibela dan dipertahankan. Jika dia disakiti dan dianiaya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saudara-saudara kita di Gaza dan di Palestin sudah dizalimi dan dianiaya sejak lebih 60 tahun lalu. Bahkan sejak tahun 1948, 5 juta rakyat Palestin terpaksa meneruskan kehidupan di khemah-khemah pelarian baik di luar mahupun di dalam negara Palestin yang terjajah. Mereka langsung tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari negara-negara Islam baik yang berjiran mahupun dari seluruh dunia Islam. Bahkan penderitaan mereka semakin getir sejak lebih tiga tahun yang lalu apabila Israel dengan penuh biadap menutup sempadan Gaza dan menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bekalan air bersih.
Tindakan tidak berperikemanusiaan ini disokong oleh kuasa-kuasa besar Amerika, Kesatuan Eropah dan Rusia. Bahkan Bangsa-Bangsa Bersatu turut bersekongkol dengan kuasa-kuasa besar merestui tindakan penuh kezaliman yang tidak pernah disaksikan di dalam sejarah tamaddun kemanusiaan iaitu 1.5 juta rakyat Palestin dikepung di dalam penjara terbesar di dunia dan kemudian dibiarkan menderita kebuluran.
Keadaan begitu genting sehingga ada di kalangan penduduk Gaza yang terpaksa memakan rumput di tepi jalan untuk meneruskan kehidupan. Dan yang paling malang lagi saudara-saudara seagama yang jumlahnya mencecah 1.6 billion orang mengambil sikap acuh tak acuh atau tidak mengambil peduli tentang nasib saudaranya yang berada di ambang kematian.
Negara-negara Islam yang merupakan negara-negara pengeluar minyak yang kaya sanggup membiarkan umat Islam diperlakukan dengan biadap tanpa peri kemanusiaan oleh musuh-musuhnya. Bahkan lebih hina lagi apabila Mesir yang berjiran dengan Gaza tunduk kepada kehendak Isreal dan Amerika dan menutup sempadannya dengan Gaza. Bahkan sehingga saat ini pintu sempadan masih ditutup sehingga rakyat Gaza yang tercedera dalam serangan biadap Israel tidak dapat menyeberang untuk mendapatkan rawatan.
Kepekaan kita terhadap isu Palestin bukan sahaja berkaitan dengan penderitaan rakyat Palestin bahkan kepekaan kita didorong oleh suatu hakikat yang jauh lebih besar iaitu kedudukan Baitul Maqdis sebagai tanah suci dan Masjid al-Aqsa, masjid yang ketiga paling mulia dalam Islam kini sedang terkepung dan terjajah oleh musuh-musuh Zionis.
Pada 21 Ogos ini genaplah 41 tahun Masjid al-Aqsa dibakar iaitu pada tahun 1969. Tarikh tersebut telah diwartakan sebagai hari al-Aqsa oleh kerajaan Malaysia sebagai mengingatkan umat Islam khususnya bahawa isu Palestin adalah isu yang berkait langsung dengan masa depan Masjid al-Aqsa.
Hari al-Aqsa merujuk kepada peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia apabila seorang pelampau Yahudi telah membakar Masjid al Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit.
Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi umat Islam merasa tercabar kerana masjid ketiga paling suci dalam akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat zionis yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal Sulaiman).
Perbuatan pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennis Rohan berbangsa Australia ini bukanlah satu perbuatan persendirian yang terpencil. Malah ia merupakan satu konspirasi yang dirancang sebegitu rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi yang bersekongkol dengan regim zionis untuk mengancam dan memusnahkan Masjid al Aqsa. Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menimba air dan memadamkan sendiri kebakaran dengan bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa zionis Israel. Michael Dennis dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak siuman.
Samada Michael Dennis siuman atau tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.
Tindakan jahat ini telah mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II, Maghribi untuk mengadakan sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25 September 1969. Sidang kemuncak ini memutuskan resolusi untuk menyatukan seluruh negara-negara Islam ke arah memastikan pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki natijah dari perang 1967.
Satu resolusi juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian Palestin yang tidak menjamin kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin sebagaimana statusnya sebelum tahun 1967 akan ditolak oleh negara-negara Islam.
Sehubungan dengan itu sebuah sekretariat ditubuhkan di Jeddah dan Setiausaha Agung (Secretary General) yang pertama diberi kepercayaan dan penghormatan ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan ini rasmilah penubuhan OIC seperti yang diketahui pada hari ini.
Sebaik selesai sahaja sidang kemuncak di Rabat, YTM Tunku Abdul Rahman bergegas ke Persidangan Agung PBB pada 7 Oktober 1969 sebagai mewakili ketua-ketua negara Islam bagi menegaskan semula kedudukan isu Palestin. Persoalan Palestin yang telah dikeluarkan dari agenda Persidangan PBB sejak tahun 1952 telah kembali diiktiraf oleh PBB hasil dari desakan dan aspirasi ketua-ketua negara Islam yang diungkapkan dengan penuh meyakinkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di dalam persidangan PBB sesi yang ke 23 tersebut Persidangan Agung PBB kemudiannya merubah perspektif mereka terhadap isu Palestin dengan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk yang mempunyai hak di bawah Piagam PBB.
Kedudukan rakyat Palestin yang terusir dari tanah air mereka dan hak mereka yang tidak boleh diganggu gugat ini terjamin di bawah Resolusi PBB 2535B (XXIV) yang diterima oleh Persidangan Agung PBB pada 10 Disember 1969. Sumbangan dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj wajar dirakamkan sebagai batu tanda yang penting dalam perjuangan umat Islam di persada antarabangsa dalam isu pembelaan ke atas rakyat Palestin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa mempunyai makna yang cukup besar bagi umat Islam. Masjid al Aqsa mempunyai pelbagai kelebihan berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW. Bersembahyang di masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.
Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani).
Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut:
Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra’ bin `Azib:
Daripada al-Barra’ bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan.
Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.
Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. “Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari
Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setelah ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib mengingatkan umat Islam supaya tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada suadara-saudaranya di Palestin demi mempertahankan Masjid al-Aqsa. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah SWT agar umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka. Firman Allah SWT dari surah as Saff:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)
“Wahai orang yang beriman, sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksa api neraka iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasulnya, dan berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah yang baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Semoga dengan kehadiran bulan Ramadhan yang bakal tiba dalam masa yang terdekat ini menjadikan kita istiqamah dan lebih beriltizam untuk berjuang demi pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Disediakan oleh
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE (Palestine Centre of Excellence)
Merangkap ahli lembaga Pengarah Aqsa Syarif

No comments: