This is our land!!!

Bendera Malaysia

Sunday, August 15, 2010

Masjid di bulan ramadhan...

1)      Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;

Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.
 
Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.
 
Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.
 
Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-
‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة
Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 tahun, hari dan bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan haramnya lalu dihadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar"
( Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )
 
Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Wajiblah ke atas mereka untuk menjaga anak mereka agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.
 
2)      Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.

Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang..
Nabi s.a.w menyebut :-
‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان
Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.'
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )
 
Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.
 
Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya.. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.
 
Nabi bersabda :-
المصلي يناجي ربه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551  )
           
Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu dihadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak.
Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.
 
3)      Meludah di masjid

Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.
 
Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-
‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها
Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya"
( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )
 
4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.

Ini adalah satu lagi dosa yang berlaku secara kerap di masjid tatkala Ramadhan ini. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di 'silent' kan deringannya.
Menurut kefahaman saya, hukum mematikan 'handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan). 
 
Ini kerana :- Tegahan dari terpesong minda & hati :
Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-
إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها
Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3  atau ½ "
( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )
 
فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)
 
Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-
فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain"
( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )
 
Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.
                                                                
Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain
Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.
Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk.
 
Nabi SAW besabda :- 
‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja
( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )
 
Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.
 
Pergerakan  
Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan
أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية
Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat)
( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )
 
Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak 'membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.
 
5)      Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.

Telah banyak kali disebut bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.
 
Sebagaimana ingatan Nabi :-
‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja
( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )
 
6)      Tidur semula selepas sahur

Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.
 
Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.
Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.
 
Allah berfirman :-
الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ
Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur"  ( Al-Imran : 17 )
 
7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.

Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.
 
Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur.  Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.
Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain.
 
Nabi s.a.w bersabda :-
اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا
Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)"
(Riwayat Muslim)
 
Majoriti ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai
( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )
 
8)      Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah

Isu ini telah banyak kali  disentuh, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.
Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.
   
9)      Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.

Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.
 
Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. 
 
Disebutkan dalam sebuah hadis :-
‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط
Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.."
( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )
 
Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.
 
10)  Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya

Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a..w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.
 
Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.
Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?.  Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.
 
Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.
 
Nabi s.a.w mengingatkan :-
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ
 دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ
Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh"
( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )
 

 
Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan. Saya izinkan disebarluaskan artikel ini di masjid, surau, fotostatlah sebanyak mungkin demi manfaat rakan muslim kita. Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t ..ameeen.  

untuk dikongsi bersama...

Monday, August 9, 2010

Teks khutbah sempena Hari al-Quds (Negeri Selangor)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
9:71 “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;  sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuhnya adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah. Tuntutan ukhuwah di Dalam Islam tidak mengenal batas-batas negara, bangsa dan keturunan. Selama mana seseorng itu mengucap kalimah syahadah maka dia ada saudara dalam Islam yang wajib dibela dan dipertahankan. Jika dia disakiti dan dianiaya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saudara-saudara kita di Gaza dan di Palestin sudah dizalimi dan dianiaya sejak lebih 60 tahun lalu. Bahkan sejak tahun 1948, 5 juta rakyat Palestin terpaksa meneruskan kehidupan di khemah-khemah pelarian baik di luar mahupun di dalam negara Palestin yang terjajah. Mereka langsung tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari negara-negara Islam baik yang berjiran mahupun dari seluruh dunia Islam. Bahkan penderitaan mereka semakin getir sejak lebih tiga tahun yang lalu apabila Israel dengan penuh biadap menutup sempadan Gaza dan menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bekalan air bersih.
Tindakan tidak berperikemanusiaan ini disokong oleh kuasa-kuasa besar Amerika, Kesatuan Eropah dan Rusia. Bahkan Bangsa-Bangsa Bersatu turut bersekongkol dengan kuasa-kuasa besar merestui tindakan penuh kezaliman yang tidak pernah disaksikan di dalam sejarah tamaddun kemanusiaan iaitu 1.5 juta rakyat Palestin dikepung di dalam penjara terbesar di dunia dan kemudian dibiarkan menderita kebuluran.
Keadaan begitu genting sehingga ada di kalangan penduduk Gaza yang terpaksa memakan rumput di tepi jalan untuk meneruskan kehidupan. Dan yang paling malang lagi saudara-saudara seagama yang jumlahnya mencecah 1.6 billion orang mengambil sikap acuh tak acuh atau tidak mengambil peduli tentang nasib saudaranya yang berada di ambang kematian.
Negara-negara Islam yang merupakan negara-negara pengeluar minyak yang kaya sanggup membiarkan umat Islam diperlakukan dengan biadap tanpa peri kemanusiaan oleh musuh-musuhnya. Bahkan lebih hina lagi apabila Mesir yang berjiran dengan Gaza tunduk kepada kehendak Isreal dan Amerika dan menutup sempadannya dengan Gaza. Bahkan sehingga saat ini pintu sempadan masih ditutup sehingga rakyat Gaza yang tercedera dalam serangan biadap Israel tidak dapat menyeberang untuk mendapatkan rawatan.
Kepekaan kita terhadap isu Palestin bukan sahaja berkaitan dengan penderitaan rakyat Palestin bahkan kepekaan kita didorong oleh suatu hakikat yang jauh lebih besar iaitu kedudukan Baitul Maqdis sebagai tanah suci dan Masjid al-Aqsa, masjid yang ketiga paling mulia dalam Islam kini sedang terkepung dan terjajah oleh musuh-musuh Zionis.
Pada 21 Ogos ini genaplah 41 tahun Masjid al-Aqsa dibakar iaitu pada tahun 1969. Tarikh tersebut telah diwartakan sebagai hari al-Aqsa oleh kerajaan Malaysia sebagai mengingatkan umat Islam khususnya bahawa isu Palestin adalah isu yang berkait langsung dengan masa depan Masjid al-Aqsa.
Hari al-Aqsa merujuk kepada peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia apabila seorang pelampau Yahudi telah membakar Masjid al Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit.
Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi umat Islam merasa tercabar kerana masjid ketiga paling suci dalam akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat zionis yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal Sulaiman).
Perbuatan pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennis Rohan berbangsa Australia ini bukanlah satu perbuatan persendirian yang terpencil. Malah ia merupakan satu konspirasi yang dirancang sebegitu rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi yang bersekongkol dengan regim zionis untuk mengancam dan memusnahkan Masjid al Aqsa. Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menimba air dan memadamkan sendiri kebakaran dengan bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa zionis Israel. Michael Dennis dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak siuman.
Samada Michael Dennis siuman atau tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.
Tindakan jahat ini telah mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II, Maghribi untuk mengadakan sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25 September 1969. Sidang kemuncak ini memutuskan resolusi untuk menyatukan seluruh negara-negara Islam ke arah memastikan pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki natijah dari perang 1967.
Satu resolusi juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian Palestin yang tidak menjamin kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin sebagaimana statusnya sebelum tahun 1967 akan ditolak oleh negara-negara Islam.
Sehubungan dengan itu sebuah sekretariat ditubuhkan di Jeddah dan Setiausaha Agung (Secretary General) yang pertama diberi kepercayaan dan penghormatan ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan ini rasmilah penubuhan OIC seperti yang diketahui pada hari ini.
Sebaik selesai sahaja sidang kemuncak di Rabat, YTM Tunku Abdul Rahman bergegas ke Persidangan Agung PBB pada 7 Oktober 1969 sebagai mewakili ketua-ketua negara Islam bagi menegaskan semula kedudukan isu Palestin. Persoalan Palestin yang telah dikeluarkan dari agenda Persidangan PBB sejak tahun 1952 telah kembali diiktiraf oleh PBB hasil dari desakan dan aspirasi ketua-ketua negara Islam yang diungkapkan dengan penuh meyakinkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di dalam persidangan PBB sesi yang ke 23 tersebut Persidangan Agung PBB kemudiannya merubah perspektif mereka terhadap isu Palestin dengan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk yang mempunyai hak di bawah Piagam PBB.
Kedudukan rakyat Palestin yang terusir dari tanah air mereka dan hak mereka yang tidak boleh diganggu gugat ini terjamin di bawah Resolusi PBB 2535B (XXIV) yang diterima oleh Persidangan Agung PBB pada 10 Disember 1969. Sumbangan dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj wajar dirakamkan sebagai batu tanda yang penting dalam perjuangan umat Islam di persada antarabangsa dalam isu pembelaan ke atas rakyat Palestin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa mempunyai makna yang cukup besar bagi umat Islam. Masjid al Aqsa mempunyai pelbagai kelebihan berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW. Bersembahyang di masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.
Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani).
Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut:
Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra’ bin `Azib:
Daripada al-Barra’ bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan.
Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.
Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. “Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari
Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setelah ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib mengingatkan umat Islam supaya tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada suadara-saudaranya di Palestin demi mempertahankan Masjid al-Aqsa. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah SWT agar umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka. Firman Allah SWT dari surah as Saff:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)
“Wahai orang yang beriman, sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksa api neraka iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasulnya, dan berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah yang baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Semoga dengan kehadiran bulan Ramadhan yang bakal tiba dalam masa yang terdekat ini menjadikan kita istiqamah dan lebih beriltizam untuk berjuang demi pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Disediakan oleh
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE (Palestine Centre of Excellence)
Merangkap ahli lembaga Pengarah Aqsa Syarif

Thursday, August 5, 2010

Sekadar hiasan...

Sejauh mana mata yang memandang takkan dapat merungkaikan apa yang sedang bermain difikiran,setiap insan mengharapkan sesuatu yang terbaik dalam hidup,31 tahun dalam pencarian hidup aku masih mencari sesuatu yang masih tak dapat aku sendiri rungkaikan...hidup yang semakin singkat masih lagi terus disia-siakan tanpa pengisian yang akan menjamin kehidupan yang abadi...aku teruskan perjalanan dan skrip yang takkan berkesudahan di bumi allah yang luas ini...manatau apa yang aku cari akan aku temui nanti...

Tazkirah Ramadhan...

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya