This is our land!!!

Bendera Malaysia

Thursday, June 23, 2011

Kisah 7 - Persamaan antara bintang dan manusia...


Dikatakan bahawa susunan falak dan buruj adalah sususan manusia. Sebagaimana falak dibahagi menjadi dua belas buruj,maka manusia juga mempunyai dua belas lubang ; iaitu dua lubang telinga, dua lubang mata, dua lubang hidung,dua lubang jalan kotoran,dua buah dada, satu mulut dan satu pusat. Enam buruj dari sebelah utara dan enam buruj lagi sebelah selatan.
Demikian juga pada manusia enam lubang ada di sebelah kiri dan enam lubang lagi di sebelah kanan. Apabila dalam falak ada tujuh bintang,akan ada dalam tubuh manusia tujuh kekuatan,iaitu pendengaran,penglihatan,perasaan,penyentuhan,perciuman,pemikiran dan pembicaraan.
Kerana itu maka gerak manusia adalah gerak daripada bintang-bintang. Lahirmu seperti terbitnya dan matimu seperti matinya. Ini adalah perumpamaan dengan alam raya yang di atas.
Ada pula perumpamaan alam bawah, maka jasadmu seperti bumi,dan tulangmu seperti gunung ,otakmu seperti lombong,keringatmu seperti parit-parit,dagingmu seperti debu,rambutmu seperti pohon-pohon,mukamu seperti masyrik(timur),punggungmu seperti maghrib(barat),kanannya seperti selatan,kirinya seperti utara,jiwamu seperti angin,kata-katamu seperti hujan,marahmu seperti mendung,tidurmu seperti mati,jagamu seperti hidup, mudamu seperti musim panas dan masa tuamu seperti musim hujan.
Maka Maha berkat Allah s.w.t dan Dia sebaik-baik pencipta dan Dia telah menciptakan tangan yang ada di dalamnya tiga puluh lima tulang dan pada telapak kaki demikian juga. wallahualam...

Friday, June 17, 2011

Puisi...

kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta...
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah? wang semakin lelah?
jika semalam berlauk, hari cuma berkuah...

kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah...
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang...
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak...

sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

tapi kami masih di sini..di teratak ini...
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...

tiada istana lawa...tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri...tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...tiada bahagian anak dan bini...

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi...
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...
tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...
kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...

kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

kredit Bujang susah

Thursday, June 9, 2011

Kisah 6 - Golongan yang dahulu disoal...



Dalam hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Hurairah diceritakan bahawa pada hari kiamat,akan diadili lebih dahulu tiga golongan iaitu pejuang,orang berilmu dan hartawan.
Digambarkan dalam hadis proses setiap golongan itu untuk memberi gambaran niat mereka di dunia dan tempat mereka di akhirat.
Terhadap pejuang dinyatakan,"apakah yang telah engkau kerjakan di dunia?"
"Aku berjuang dan bertempur pada jalan Allah S.W.T sehingga aku tewas dalam medan peperangan,"katanya.
Allah berfirman: "Engkau berdusta,engkau tewas bukan kerana engkau mempertahankan agama atau berjuang ke jalan Allah,tetapi hanya mengharapkan supaya engkau bergelar pahlawan. Oleh itu,tempatmu adalah neraka."
Kemudian disoal pula orang yang berilmu, "Apakah amalan yang engkau kerjakan di dunia?". Jawab mereka: "Aku menuntut ilmu kemudian aku ajarkan kepada orang lain. Dalam pada itu aku sentiasa membawa Al-Quran,".
Allah berfirman: "Engkau berdusta sebab engkau belajar dan belajar supaya dikatakan engkau ulama dan cendiakawan dan engkau selalu membaca Al-Quran supaya engkau disebut sebagai Qari. Oleh itu tempatmu juga di neraka."
Yang terakhir disoal adalah golongan hartawan: "Allah telah melapangkan hidupmu dan mengurniakan rezeki dan harta yang banyak kepadamu. Apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu dalam kehidupanmu di dunia?"
Jawab si hartawan itu : "Aku menafkahkan harta yang dikurniakan itu ke jalan Allah."
Allah berfirman :"Engkau berdusta kerana engkau nafkahkan harta itu hanyalah supaya engkau disebut orang sebagai dermawan,oleh itu tempatmu juga di dalam neraka."
nauzubillah...

Thursday, June 2, 2011

Kisah 5 - Cerita pengemis dan isteri cantik...

Pada suatu hari,ketika sepasang suami isteri duduk makan di ruang tamu,datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.
"tolonglah encik,saya lapar,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isterinya yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.
Dalam hatinya berkata : "aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tetapi untuk diri dan keluargaku."
Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.
Beberapa tahun kemudian,perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia mahu menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian,isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.
Pada suatu hari,sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan,tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu,si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti isterinya makan.
Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis,si isteri menekup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.
Suaminya yang baru itu menjawab dengan tenang : "Demi Allah,sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!"
Subhanallah,hidup ini ibarat putaran roda dan tidak selalunya kita berada di atas. Ada masa dan ketikanya kita akan turun ke bawah dan naik semula atau sebaliknya.